• Home
  • Artikel
  • Tanazzul al-Qur’ān dalam Sharḥ al-Ḥikam al-Ghawthiyyah: Sorotan hikmah pertama kitab al-Ḥikam al-Ghawthiyyah karya Syeikh Abū Madyan al-Maghribī (W. 594 H.)

Tanazzul al-Qur’ān dalam Sharḥ al-Ḥikam al-Ghawthiyyah: Sorotan hikmah pertama kitab al-Ḥikam al-Ghawthiyyah karya Syeikh Abū Madyan al-Maghribī (W. 594 H.)

Dr. Ahmad Levi Fachrul Avivy, M.A. 20 Jun 2024

Syeikh Abū Madyan al-Maghribī merupakan seorang tokoh sufi tersohor pada kurun ke-6 H. Beliau dijuluki sebagai Ra’s al-Sūfiyyah fī Waqtih (rujukan ahli tasawuf pada masanya) dan rujukan bagi kawasan sebelah Barat Islam (Shaykh Ahl al-Maghrib). Hasil karya tulis beliau yang paling popular ialah al-Ḥikam al-Ghawthiyyah yang telah disyarah oleh ulama lain bagi memudahkan pembaca menyelami untaian maknanya. Antara kitab syarah yang dimaksud ialah Sharḥ al-Ḥikam al-Ghawthiyyah karya Shihāb al-Dīn Aḥmad ibn Ibrāhīm al-Makkī yang dikenali sebagai Ibn ‘Ilan al-Ṣiddīq al-Shāfi‘ī al Naqshabandī (975-1033 H.). Sehubungan dengan itu, artikel ini menganalisis satu kalam hikmah daripada kitab tersebut yang berkaitan dengan perbahasan penurunan al-Quran (Tanazzul al-Qur’ān). Dengan menggunakan metode kualitatif kajian ini mendapati wujud perbezaan makna semantik antara perkataan nuzul dengan tanazzul. Pensyarah hikmah ini merumuskan bahawa nuzul atau proses turunnya ayat suci al-Quran yang dikhaskan kepada Rasulullah SAW telah berlaku dan tidak akan berulang semula. Manakala tanazzul al-Qur’ān dengan maksud proses penurunan al-Quran ke dalam hati para wali Allah SWT akan sentiasa berterusan hingga hari kiamat.